Rabu, 23 November 2011

Majlis fikir atas iman dan amal 5- karkuzari jemaah ulama khuruj 1tahun


Karguzari jemaah ulama' Malaysia yang bersafar, khuruj fisabilillah setahun ke IPB (India Bangladesh dan Pakistan) di awal tahun 2003. Turut dimuatkan dalam karguzari ini, beberapa karguzari jemaah ulama dari negara lain dengan tasykil setahun serta karguzari usaha da'wah di Israel.



Alhamdulillah, Allah SWT masih lagi mengekalkan kenikmatan iman dan islam di dalam kehidupan kita, semoga Allah mengekalkannya sehingga akhir hayat dan memelihara hubungan kita semua.

Tashkil kami selama setahun telah bermula daripada tarikh 1/2/03. Kami terdiri daripada lima orang; Ustaz Lokman Shazly dari Petaling Jaya, Ustaz Johari dari Jerantut, Ustaz Azmi dari Kuala Terengganu, Ustaz Azman@Abdul Fattah dari Muar dan Ustaz Mohammad Idrus dari Kota Bharu. Seorang lagi Ustaz Mohammad Hafiz tetapi lewat seminggu (kami belum lagi bertemu dengannya kerana berada di dalam tashkil jemaah yang lain dan mungkin esok beliau akan sampai ke Nizamuddin).

Sambil menanti urusan visa dan tiket selesai, kami telah bermalam dan berkhidmat di Masjid Jamek Sri Petaling, seorang daripada kami telah mendapat mimpi yang baik. Beliau telah melihat di dalam mimpinya bahawa Baginda Nabi Muhammad SAW sedang memberi khutbah di atas pangkin mimbar Masjid Jamek Sri Petaling. Baginda memandang ke kiri dan ke kanan melihat ahli jemaah yang berseri-seri dengan pakaian sunnah berjubah dan berserban sambil memandang mereka dengan penuh senyuman dan keredhaan. Dengan petanda mimpi yang baik ini, kami harap moga Allah SWT menerima kami yang berangkat di dalam safar setahun dan juga moga Allah SWT menerima mereka semua yang melibatkan diri di dalam usaha Baginda SAW serta mereka yang membantu mereka… Amin.

Pada 10.30 pagi 16/2/03, kami telah selamat sampai ke Dhaka dan ditempatkan di hotel. Transit selama 2 hari sebelum meneruskan penerbangan ke Delhi. Di Dhaka, kami sentiasa menghadirkan diri di Markas Tabligh di Masjid Kakrei. Cuaca masih sejuk. Di Masjid Kakrei kami dapat hadir di majlis laporan jemaah/karkuzari, bayan dan kami dan kami dapat menziarahi orang tua kita, Maulana Azizul Maqsud dan kemudiannya kami diberi nashat di dalam bahasa arab oleh Tuan Mufti Abdullah.

Dua hari di Dhaka, maka kami telah berangkat ke Delhi. Alhamdulillah perjalanan baik dan selamat sampai ke markas tabligh dunia, Masjid Bangawali, Nizamuddin Aulia. Tiga hari kami bermalam di sini sambil menghadiri program harian yang amat bermakna. Kami menduduki bayan-bayan dalam bahasa arab. Para mashaikh seperti Maulana Zubair, Sheikh Saad, Sheikh Ahmad Lat masih belum pulang dari menunaikan haji.

Di Nizamuddin, kami dapat bertemu dengan ramai rakan-rakan dari serata dunia, dari  Afrika Selatan terdapat 48 Ulama’ yang sedang menyertai tashkil 1 tahun dan dari England sebanyak 12 orang. Pada awalnya kami terasa agak berbangga setelah berjaya mengumpulkan ulama’ dari Malaysia tetapi melihat jumlah mereka yang jauh lebih lebih banyak, kami terasa masih banyak kekurangan yang perlu diatasi dan masih banyak lagi usaha ke atas ulama’ Malaysia perlu di buat dengan bersungguh-sungguh. Mengapa tidak, Malaysia adalah negara islam yang rasmi sementara di Afrika Selatan umat islam hanyalah berjumlah 2% dan England pun mempunyai kadar begitu juga tetapi dalam pada itu mereka masih dapat menerbitkan bilangan ulama’ yang ramai untuk keluar di jalan Allah selama setahun.

Kami juga sempat bertemu dan berbual dengan saudara arab dari Israel yang juga baru tiba. Persoalan yang timbul dalam hati kami, bagaimanakah usaha dakwah dan tabligh boleh berlangsung di dalam negara Israel secara Madaniyyah (terbuka) dan terdapat 4 markas tabligh di sana sedangkan orang arab di Palestin diancam dan diseksa teruk oleh orang Israel sementara di Palestin terdapat 5 markas. Katanya orang Yahudi adalah pakar di dalam soal kitab asmawi termasuk Al-Quran dan Ahadis Nabi. Mereka tahu yang mana benar dan yang mana salah dan mereka tahu usaha Agama yang mana mandapat bantuan Allah SWT yang ghaib dan yang tidak memperolehinya. Maka mereka tidak berani mengganggu orang-orang yang membuat usaha dakwah dan tabligh kerana dengan mengganggu orang-orang ini bermakna menarik azab Allah SWT dan balaNya ke atas mereka sendiri, sebab itulah mereka dibiarkan bebas. Sedangkan pergerakan lain yang radikal dibanteras dan diseksa habis-habisan kerana mereka tahu cara mereka salah dan tiada bantuan Allah SWT bersama mereka itu.

Ketika kami di Malaysia, Ustaz Johari telah menghantar jemaah arab dari Emiriah pulang ke KLIA, salah seorang dari mereka telah memberitahu bahawa dia pernah keluar jemaah bersama seorang arab muslim dari Israel dan dia telah menceritakan kisah bagaimana usaha dakwah di Israel telah terpaksa dibenarkan secara terbuka.

Suatu ketika, beberapa rakan seusaha sedang menjalani usaha jaulah/ghast/ziarah, mereka telah ditahan oleh tentera yahudi untuk meneruskan perjalanan mereka, tetapi mereka berpendirian tetap dan tekad untuk terus pergi. Akhirnya seperti biasa dengan sifat zalim yahudi, tentera itu telah menujukan senapang mesin mereka ke arah jemaah tetapi peluru tidak keluar setelah dipetik. Apabila dihalakan ke atas dan ke arah lain, peluru boleh keluar dan sebaliknya, apabila dihalakan ke arah jemaah peluru tidak akan keluar. Peristiwa itu telah dibawa ke pihak atasan Israel dan mereka telah faham golongan ini adalah golongan haq, mereka mengeluarkan arahan supaya jemaah tabligh tidak dihalang lagi.

Kemudian kami telah bergabung dengan 6 orang Ulama’ dari Afrika Selatan untuk keluar 20 hari di Mawana satu kawasan pedalaman 3 jam perjalanan dari Delhi. Jemaah kami dipimpin oleh satu orang A’lim lepasan Deoband yang sudah menjangkau umur 60-an. Beliau telah mula melibatkan diri di dalam usaha Dakwah dan Tabligh semenjak 1961 di zaman Maulana Yusuf rah.alaih.

Nota: Tasykil setahun keluar di jalan Allah hanya dikhususkan untuk jemaah ulama' sahaja. Jemaah Ulama terdiri dari mufti, kiyai, maulana, ustaz dan setaraf dengannya adalah salah satu bahagian yang sangat penting dalam usaha da'wah dan tabligh. Kita telah melihat usaha yang sama dilakukan di negara jiran seperti Thailand dan Indonesia, usaha lebih cepat membangun asbab lebih ramai ulama' mengambil bahagian dalam kerja-kerja da'wah dan tabligh; dan tentunya dengan limpah rahim dan kehendak Allah SWT.


Wallahu a'lam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan