Rabu, 23 November 2011

Majlis fikir atas iman dan amal 4- Pengalaman dr mohamad noorman


Dalam membuat usaha agama, tumpuan dan fokus usaha kita adalah terhadap orang-orang Islam terlebih dahulu. Namun demikian, Allah dengan kerahimannya telah menunjukkan bahawa orang-orang bukan Islam juga mendapat tempias kebaikan melalui usaha yang dijalankan sehingga ada yang mendapat hidayat, lantas memeluk agama Islam. Sepanjang berada di dalam usaha ini, telah beberapa kali Allah pertemukan dengan insiden atau peristiwa di mana orang bukan Islam mendapat hidayah sehingga mendorong mereka memeluk agama Islam.

      Peristiwa pertama sewaktu saya keluar empat bulan IPB. Semasa berada di dalam taskil di Bhopal, Jemaah kami telah dipertemukan dengan seorang warga Afrika yang sedang menuntut di Bhopal. Tatkala berjumpa dengan dia, kami telah bertanyakan namanya, lalu dijawapnya sebagai “Moses” dan apabila ditanya tentang agamanya, beliau telah menjawab sebagai beragama Kristian. Setelah bertakruf, Jemaah kami terus beriktilat dan dalam berbual, kami sempat berseloroh mangatakan nama sebenarnya bukanlah “Moses” tetapi “Musa”. Beliau bertanya lanjut mengapa kami mengatakan yang nama sebenarnya bukan “Moses” sebaliknya “Musa”, maka kami pun menceritakan tetang kisah Nabi Musa sebagaimana yang disebut di dalam Al-Quran. Ternyata, apa yang disampaikan oleh Jemaah kami kepadanya telah menyentuh pintu hatinya sehingga menyebabkan dia bersetuju untuk menghadiri Ijtimak Bhopal, apabila ditaskil oleh Jemaah. Di dalam Ijtimak Bhopal inilah, beliau telah memeluk agama Islam dan kami telah menamakanya dengan nama Musa.

      Peristiwa kedua yang saya lalui melibatkan seorang berbangsa Cina yang berlaku sekitar tahun 1995. Beliau adalah seorang anak muda yang tugasnya membantu ibunya menjual kuih muih di kawasan tidak jauh dari Masjid Sri Petaling. Suatu ketika, suatu Jemaah dari Kelantan yang di dalam perjalanan ke Masjid Sri Petaling, dengan menaiki pengangkutan awam telah turun di tempat yang agak jauh dari Masjid Sri Petaling. Memandangkan mereka mungkin pertama kali ke Sri Petaling, maka masing-masing agak kekok dan keliru untuk mencari dengan pasti lokasi Masjid Sri Petaling. Maka salah seorang daripada ahli Jemaah telah bertanya dengan seorang budak Cina yang mana budak tersebut akhirnya bersetuju untuk menunjukkan jalan ke Masjid Sri Petaling. Di atas kehendak Allah, budak tersebut bukan sahaja menunjukkan jalan sehingga sampai, bahkan dia sendiri telah turut masuk ke Masjid Sri Petaling. Setelah beliau masuk, beliau merasakan sesuatu kelaianan yang tidak pernah beliau lalui sehingga dari diri beliau sendiri terbit keinginan untuk masuk Islam. Beliau telah memeluk Islam dan kemudiannya telah turut keluar selama 40h dengan pelajar-pelajar UiTM. Masih dapat saya baying wajah keceriaanya setelah selesai 40h dan memaklumkan kepada saya “Abang,,,saya nak sunat tau!!!”

     Peristiwa ketiga berlaku sekitar tahun 2000 sewaktu saya mengikuti kursus induksi sebagai syarat untuk pengesahan jawatan. Dengan izin Allah semasa mengikuti kursus induksi, saya telah ditempatkan bersama dua orang pensyarah UiTM yang juga merupakan rakan seusaha semenjak zaman kami belajar lagi. Kami semua ditempatkan di sebuah rumah yang boleh memuatkan seramai 8 orang. Hampir kesemua perserta kursus adalah pensyarah melainkan seorang sahaja iaitu staf pentadbiran. Salah seorang daripada pensyarah tersebut adalah seorang berketurunan Cina tetapi telah dipelihara oleh keluarga angkat yang berketurunan Hindu. Sepanjang hampir 2 minggu berkursus, kami telah mengikram beliau yang sememangnya telah mempunyai minat terhadap agama Islam. Semasa mengikuti kursus induksi, pada hari Khamis malam Jumaat, peserta digalakkan untuk mengikuti program bacaan Yassin di surau. Memandangkan hampir semua ahli rumah adalah beragama Islam kecuali, maka semua telah pergi ke surau untuk membaca Yassin meninggalkan beliau keseorangan di rumah. Saya telah mengambil peluang untuk mengajak beliau untuk turut sama tetapi beliau enggan kerana malu. Saya terus memujuk dan akhirnya beliau bersetuju untuk pergi dengan mengenakan pakaian baju melayu raihan yang saya pinjamkan. Beliau telah turut sama mengikuti bacaan Yassin dengan hanya memegang kitab Yassin tanpa membacanya. Sepanjang dua minggu bersama dengannya, telah acapkali kami mengajaknya memeluk Islam, tetapi beliau memberi jawapan belum bersedia dan perlu memikirkan semasak-masaknya, sehinggalah apabila kursus induksi telah tamat, kami semua telah pulang dang dia masih belum lagi memeluk Islam. Selepas hampir dua tahun, suatu hari pada hari Jumaat, selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Negeri Shah Alam, seorang telah memanggil-manggil nama saya dari belakang dan apabila saya menoleh, rupa-rupanya pensyarah yang dua tahun dahulu bersama dengan saya telah pun memeluk agama Islam.

      Peristiwa keempat melibatkan orang Asli di Shah Alam. Waktu itu, saya menetap di Seksyen 6 Shah Alam dan mesyuarat halqah Shah Alam Utara telah memutuskan agar muhallah kami menjalankan usaha Ghast kedua di Surau Air Kuning iaitu penempatan orang Asli. Semasa keluar ghast, Jemaah telah dipertemukanoleh Allah dengan salah seorang lelaki dewasa berketurunan orang Asli yang masih belum memeluk Islam. Pada awalnya, Jemaah menyangka bahawa beliau adalah orang Islam, maka rahaba dan mutakalim telah menjalankan tugas seperti biasa. Tetapi apabila ditaskil oleh mutakalim untuk datang ke surau, beliau telah memaklumkan bahawa beliau bukan beragama Islam. Mendengarkan jawapannya, mutakalim dalam keadaan tidak begitu bersungguh menjemput beliau supaya memeluk Islam. Atas kehendak Allah, beliau bersedia dan telah datang ke surau. Selepas solat magrib, beliau telah duduk di dalam bayan magrib dan setelah bayan selesai, maka Jemaah telah mengajar beliau untuk bersyahadah dan akhirnya beliau telah berjaya di Islamkan.

      Insiden atau peristiwa pengislaman seterusnya adalah semasa saya keluar bersama pelajar-pelajar UiTM selama 10h ke kawasan Semenyih. Di salah satu surau yang kami keluar, kami telah menjalankan usaha ziarah pintu ke pintu di waktu pagi. Di kawasan tersebut, yang merupakan kawasan perumahan flet atau apartment, kebanyakan daripada penduduk berketurunan India dan mengikuti kepercayaan Hindu. Namun demikian terdapat segelintir penduduk berketurunan India yang beragama Islam. Oleh yang demikian, semasa menjalankan usaha ziarah pintu ke pintu, kami akan melihat sama ada terdapat daun manga atau pun tidak dipintu rumah. Sekiranya tiada, bermaknya rumah tersebut mungkin dihuni oleh orang Islam dan rumah sebegini, rahaba akan memberi salam. Semasa menjalankan ziarah, Jemaah telah bersemuka dengan seorang lelaki yang berada diluar rumahnya. Rahaba tanpa usul periksa terus memberi salam dan memperkenalkan Jemaah kepada lelaki tersebut yang berketurunan India. Setelah memperkenalkan Jemaah, mutakalim pun menjalankan tugasnya memberi dakwah. Semasa mutakalim bercakap, beliau telah memberi tumpuan yang penuh tanpa banyak bercakap dan hanya apabila mutakalim menaskil beliau, barulah beliau membuka mulut dan berkata bahawa beliau bukan beragama Islam. Jemaah telah memohon maaf dan bergerak meninggalkan beliau tetapi selang beberapa langkah Jemaah bergerak, beliau telah memanggil semula semula mutakalim dan bercakap “Adik…saya mahu masuk Islam”. Kami menjemput beliau ke surau tetapi beliau enggan kerana perlu pergi bertugas. Pada malam hari kami telah menziarahi beliau dan keesokannya beliau bersama ahli keluarga iaitu isteri dan anak-anaknya yang masih kecil seramai dua orang telah memeluk agama Islam.

      Selanjutnya ialah sewaktu saya keluar 3h di kawasan Pelabuhan Klang. Suatu hari semasa keluar, ketika menjelang waktu magrib, seorang lelaki berketurunan Sikh telah datang ke surau dengan mengenakan pakaian seragam sebagai seorang petugas pengawal keselamatan. Dari kejauhan saya telah memandang lelaki tersebut kerana gelagat dan telatahnya seperti seorang yang sedang mencari-cari sesuatu. Setelah azan magrib, semua Jemaah telah mendirikan solat magrib, dan lelaki tadi telah duduk di belakang melihat keseluruhan Jemaah yang bersolat. Setelah selesai solat, kami telah bersemuka dan bertanya kepada beliau apakah gerangan yang beliau cari, dan jawapan yang kami terima ialah “Saya mahu jadi orang Islam”. Saya memaklumkan kepada amir Jemaah yang kemudiannya menyerahkan tugas untuk mengajar kalimah kepada saya. Setelah diajar beberapa kali, akhirnya beliau dapat mengucapkan kalimah yang seterusnya menjadi orang Islam.

      Peristiwa terakhir kisah pengislaman ini berlaku pada tahun 2007 di surau “Bintang” Seksyen 7 Shah Alam. Surau ini setelah siap, telah dibiarkan tanpa ada sesiapa yang mengimarahkannya. Jemaah dari Seksyen 7 Mustakimah telah memulakan usaha ziarah kedua. Namun disebabkan kemudahan surau yang agak dhaif, maka orang-ramai yang tinggal sekitar surau tersebut masih belum dapat mengimarahkan surau tersebut. Dalam keadaan surau yang dhaif itu, ada seorang lelaki berketurunan India yang menganut kepercayaan Hindu telah tinggal menetap di luar surau tersebut. Apabila jord UiTM diputuskan untuk dijalankan di Surau tersebut, rakan-rakan seusaha dikalangan pelajar UiTM telah berkhidmat membasuh dan mencuci surau tersebut. Lelaki india tersebut telah turut sama menyertai khidmat membersihkan surau tersebut. Ditakdirkan Allah salah seorang daripada rakan seusaha UiTM ada yang boleh berbahasa Tamil. Kelebihan yang ada pada beliau telah digunakan untuk menaskil beliau untuk memeluk agama Islam. Lelaki India tersebut terbuka hati dan kemudiannya memeluk agama Islam dengan mengambil nama baru iaitu Muhammad.

      Sebenarnya, kisah-kisah yang saya coretkan bukanlah untuk menunjukkan usaha saya, cuma untuk menceritakan bahawa melalui usaha ini, Allah akan sebarkan hidayah. Mereka yang saya sebutkan di dalam kisah-kisah di atas telah memeluk Islam atas kehendak Allah dan melalui usaha-usaha orang-orang terdahulu yang telah banyak berkorban dan doa yang berterusan.

Allahu a'lam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan